Seorang lagi Nabi Allah yang
diceritakan dari kecil di dalam al-Qur'an ialah Isa. Baginda diutus kepada kaum
Bani Israil dengan kitab Injil yang diturunkan sebelum al-Qur'an. Di dalam
al-Qur'an, Nabi Isa disebut dengan empat panggilan yaitu Isa, Isa putera
Mariam, putera Mariam, dan al-Masih. Ibunya seorang yang sangat dimuliakan
Allah. Dia memilihnya di atas semua perempuan di semua alam. Firman-Nya,
"Dan ketika malaikat-malaikat berkata, 'Wahai Mariam, Allah memilih kamu,
dan membersihkan kamu, dan Dia memilih kamu di atas semua perempuan di semua
alam'" (3:42). Mariam, ibu Nabi Isa, telah menempuh satu ujian yang amat
berat dari pada Allah. Dia dipilih untuk melahirkan seorang Nabi dengan tanpa
disentuh oleh seseorang lelaki. Dia adalah seorang perempuan yang suci.
Kelahiran
Nabi Isa as
Kelahiran Nabi Isa merupakan suatu mukjizat kerana
dilahirkan tanpa bapa. Kisahnya diceritakan di dalam al-Qur'an. Di sini,
ceritanya bermula dari kunjungan malaikat kepada Mariam atas perintah Allah.
Ketika itu, malaikat menyerupai manusia dengan tanpa cacat. Kemunculan malaikat
membuat Mariam menjadi takut lalu berkata, "Aku berlindung pada Yang
Pemurah daripada kamu, jika kamu bertakwa (takut kepada Tuhan)!' Dia (malaikat)
berkata, 'Aku hanyalah seorang rasul yang datang daripada Pemelihara kamu,
untuk memberi kamu seorang anak lelaki yang suci.'" (19:18-19). Pada ayat
yang lain, diceritakan bahwa malaikat yang datang itu telah memberi nama kepada
putera yang bakal dilahirkan. Nama itu diberi oleh Allah, dan dia (Isa) akan
menjadi terhormat di dunia dan akhirat sambil berkedudukan dekat dengan Tuhan.
Ayatnya berbunyi: "Wahai Mariam, Allah menyampaikan kepada kamu berita
gembira dengan satu Kata daripada-Nya, yang namanya al-Masih, Isa putera Mariam,
terhormat di dunia dan di akhirat, daripada orang-orang yang didekatkan."
(3:45)
Kemudian Mariam bertanya, "Bagaimanakah aku akan ada seorang anak lelaki sedang tiada seorang manusia pun menyentuhku, dan bukan juga aku seorang jalang?" (19:20). Malaikat menjawab, "Dia (Allah) berkata, 'Begitulah; Pemelihara kamu telah berkata, 'Itu mudah bagi-Ku; dan supaya Kami membuat dia satu ayat (tanda) bagi manusia, dan satu pengasihan daripada Kami; ia adalah perkara yang telah ditentukan'" (19:21). Maka lahirlah Isa putera Mariam lebih enam ratus tahun sebelum Nabi Muhammad dilahirkan. Allah membuat Nabi Isa dan ibunya satu ayat (tanda) bagi manusia, yaitu tanda untuk menunjukkan kebesaran-Nya (23:50). Allah juga menyatakan bahawa Nabi Isa adalah seperti Adam, walaupun Adam diwujudkan tanpa ibu dan bapa. Kesamaan mereka berdua adalah pada ciptaan. Kedua-duanya dicipta daripada tanah (3:59). Itu menunjukkan mereka adalah manusia biasa, kerana manusia dicipta daripada tanah.
Kerasulan
dan Kenabian Isa
Isa adalah seorang Nabi dan juga seorang Rasul. Baginda dan
beberapa orang rasul telah dilebihkan Allah daripada rasul-rasul lain. Ada yang
Dia berkata-kata kepadanya, ada yang Dia menaikkan darjat, dan bagi Isa, Dia
memberi bukti-bukti yang jelas serta mengukuhkannya dengan Roh Suci.
Firman-Nya: "Dan rasul-rasul itu, sebahagian Kami melebihkan di atas
sebahagian yang lain. Sebahagian ada yang kepadanya Allah berkata-kata, dan
sebahagian Dia menaikkan darjat. Dan Kami memberikan Isa putera Mariam
bukti-bukti yang jelas, dan Kami mengukuhkan dia dengan Roh Qudus (Suci)."
(2:253). Namun begitu, manusia dilarang oleh Allah untuk membeda-bedakan antara
para rasul dan Nabi. Larangan itu berbunyi, "Katakanlah, 'Kami percaya
kepada Allah, dan apa yang diturunkan kepada kami, dan apa yang diturunkan
kepada Ibrahim, dan Ismail, dan Ishak, dan Yaakub, dan puak-puak, dan apa yang
diberi kepada Musa, dan Isa, dan apa yang diberi kepada Nabi-Nabi daripada
Pemelihara mereka. Kami tidak membeza-bezakan seorang pun antara mereka, dan
kepada-Nya kami muslim.'" (2:136). Akibat membeda-bedakan Nabi atau Rasul
dapat dilihat pada hari ini, iaitu Nabi Isa dipercayai oleh sesetengah pihak
sebagai Tuhan atau anak Tuhan, dan Nabi Muhammad, dianggap macam Tuhan, yang
berhak membuat hukum agama.
Ajaran
Nabi Isa as
Oleh kerana Isa seorang Nabi baginda diberi sebuah Kitab,
Injil, yang mengandungi petunjuk dan cahaya untuk menjadi pegangan Bani Israil.
Selain menyuruh Bani Israil menyembah Allah dengan mentaati Injil, baginda
mengesahkan kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya. Dua firman Allah
menjelaskannya di sini, berbunyi: "Dan Kami mengutus, menyusuli
jejak-jejak mereka, Isa putera Mariam, dengan mengesahkan Taurat yang
sebelumnya; dan Kami memberinya Injil, di dalamnya petunjuk dan cahaya," (5:46)
dan, "Aku (Isa) hanya mengatakan kepada mereka apa yang Engkau
memerintahkan aku dengannya: 'Sembahlah Allah, Pemelihara aku dan Pemelihara
kamu.'" (5:117). Turut disebut di dalam Injil (dan Taurat) ialah berita
mengenai kedatangan seorang Nabi berbangsa Arab, atau ummiy (7:157), dan janji
dikurniakan Taman atau Syurga bagi orang-orang yang berperang di jalan Allah
(9:111). Janji itu juga didapati di dalam Taurat dan al-Qur'an.
Ketika baginda diutus, manusia sedang berselisih dalam hal agama. Maka kedatangannya adalah juga untuk memperjelaskan apa yang diperselisihkan. Firman Allah: "dia (Isa) berkata, 'Aku datang kepada kamu dengan kebijaksanaan, dan supaya aku memperjelaskan kepada kamu sebahagian apa yang dalamnya kamu memperselisihkan; maka kamu takutilah Allah, dan taatlah kepadaku.'" (43:63). Baginda juga memberitahu tentang kedatangan seorang rasul selepas baginda, yang namanya akan dipuji. Ayat yang mengisahkannya berbunyi: "Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku (Isa) rasul Allah kepada kamu, mengesahkan Taurat yang sebelum aku, dan memberi berita gembira dengan seorang rasul yang akan datang selepas aku, namanya ahmad (dipuji).” (61:6)
Pengikut
Setia Nabi Isa as
Seperti Nabi atau Rasul yang lain, baginda mempunyai
pengikut-pengikut yang setia dan juga yang tidak setia atau yang menentang.
Pengikut-pengikutnya yang setia percaya kepada Allah dan kepadanya. Mereka
adalah muslim. Firman Allah: "Dan ketika Aku mewahyukan pengikut-pengikut
yang setia, 'Percayalah kepada-Ku, dan rasul-Ku'; mereka berkata, 'Kami
percaya, dan saksilah Engkau akan kemusliman kami.'" (5:111).
Pengikut-pengikut yang setia pula menjadi penolong-penolong, bukan baginya
tetapi bagi Allah. Firman-Nya: "Berkatalah pengikut-pengikutnya yang
setia, 'Kami akan menjadi penolong-penolong Allah; kami percaya kepada Allah,
dan saksilah kamu akan kemusliman kami.'" (3:52)
Begitu juga bagi pengikut-pengikut setia Nabi-Nabi lain, termasuk Muhammad. Semuanya menjadi penolong-penolong Allah, untuk melaksana dan menyampaikan mesej-Nya. Firman Allah: "Wahai orang-orang yang percaya, jadilah kamu penolong-penolong Allah, sebagaimana Isa putera Mariam berkata kepada pengikut-pengikut yang setia, 'Siapakah yang akan menjadi penolong-penolong aku bagi Allah?' Pengikut-pengikut yang setia berkata, 'Kami akan menjadi penolong-penolong Allah.'" (61:14). Walau bagaimana pun, pengikut-pengikut Nabi Isa yang setia memerlukan bukti selanjut untuk megesahkan kebenarannya dan supaya hati mereka menjadi tenteram. Untuk itu mereka memohon sebuah meja hidangan dari langit. Kisahnya berbunyi begini: "Dan apabila pengikut-pengikut yang setia berkata, 'Wahai Isa putera Mariam, bolehkah Pemelihara kamu menurunkan kepada kami sebuah meja hidangan dari langit?' Dia (Isa) berkata, 'Kamu takutilah Allah, jika kamu orang-orang mukmin. 'Mereka berkata, 'Kami menghendaki untuk memakan daripadanya, dan hati kami menjadi tenteram, supaya kami mengetahui bahawa kamu berkata benar kepada kami, dan supaya kami adalah antara para saksinya.'" (5:112-113)
Justru itu, Isa memohon kepada Allah, "Ya Allah, Pemelihara kami, turunkanlah kepada kami sebuah meja hidangan dari langit, yang akan menjadi bagi kami satu perayaan, yang pertama dan yang akhir bagi kami, dan satu ayat (tanda) daripada Engkau. Dan berilah rezeki untuk kami; Engkau yang terbaik daripada pemberi-pemberi rezeki." (5:114). Allah mengabulkan permintaannya. Lantas, meja hidangan yang turun menjadi satu lagi mukjizat bagi Nabi Isa. Dan ia juga menjadi nama sebuah surah di dalam al-Qur'an, iaitu surah kelima, al-Maidah.
Mukjizat
Nabi Isa as
Selain daripada kelahiran yang luar biasa dan meja hidangan,
Nabi Isa telah dikurniakan dengan beberapa mukjizat lain. Ayat berikut
menjelaskannya: "Ketika Allah berkata, 'Wahai Isa putera Mariam, ingatlah
akan rahmat-Ku ke atas kamu, dan ke atas ibu kamu, apabila Aku mengukuhkan kamu
dengan Roh Qudus (Suci), untuk berkata-kata kepada manusia di dalam buaian dan
setelah dewasa ..... dan apabila kamu mencipta daripada tanah liat, dengan
izin-Ku, yang seperti bentuk burung, dan kamu menghembuskan ke dalamnya, lalu
jadilah ia seekor burung, dengan izin-Ku, dan kamu menyembuhkan orang buta, dan
orang sakit kusta, dengan izin-Ku, dan kamu mengeluarkan orang yang mati,
dengan izin-Ku' ..... lalu orang-orang yang tidak percaya antara mereka berkata,
'Tiadalah ini, melainkan sihir yang nyata.'" (5:110). Walaupun Nabi
Muhammad hanya diberi satu mukjizat, manusia ditegah daripada berkata bahawa
Nabi Isa adalah lebih mulia daripada Nabi Muhammad. Kerana, seperti yang sudah
maklum, amalan membeza-beza para Nabi dan Rasul dilarang Allah.
Wafatnya
Nabi Isa as
Tidak seperti kepercayaan sesetengah orang iaitu Nabi Isa
tidak wafat semasa disalib tetapi diangkat naik ke langit. Sebenarnya, Nabi Isa
telah wafat di bumi, namun bukan disalib. Baginda telah wafat selepas peristiwa
penyaliban ke atasnya di sebuah tempat lain yang tidak diceritakan di dalam
al-Qur'an. Besar kemungkinan baginda telah melarikan diri dari tempat baginda
dijatuhkan hukum. Bukti yang menunjukkan baginda telah wafat di bumi terdapat
pada ayat-ayat berikut: "Apabila Allah berkata, 'Wahai Isa, Aku akan
mematikan kamu, dan menaikkan kamu kepada-Ku, dan Aku membersihkan kamu
daripada orang-orang yang tidak percaya .....'" (3:55). "Dan aku
(Isa) seorang saksi ke atas mereka selama aku di kalangan mereka; tetapi
setelah Engkau mematikan aku, Engkau Sendiri adalah penjaga ke atas mereka;
Engkau saksi atas segala sesuatu." (5:117)
Akan tetapi, sebahagian daripada kaum Bani Israil mengatakan bahawa mereka telah membunuhnya disalib. Allah mengatakan yang sebaliknya pula. Apa yang berlaku hanya satu kesamaan sahaja. Firman-Nya: "ucapan mereka, 'Kami telah membunuh al-Masih, Isa putera Mariam, rasul Allah.' Tetapi mereka tidak membunuhnya, dan tidak juga menyalibnya, tetapi hanya satu kesamaan yang ditunjukkan kepada mereka. Orang-orang yang berselisih mengenainya benar-benar dalam keraguan terhadapnya; mereka tidak ada pengetahuan mengenainya, kecuali mengikuti sangkaan; mereka tidak membunuhnya, yakinlah." (4:157). Telah wujud lagi kepercayaan terhadap Nabi Isa yang tidak disahkan Allah di dalam al-Qur'an, yaitu baginda akan muncul lagi di bumi buat kali kedua. Itu tidak benar.
Ayat Nabi Isa
Isa ‘alaihis salam adalah nabi yang terakhir sebelum nabi Muhammad. Dengan
takdir Allah, dia dilahirkan oleh Maryam binti Imran tanpa seorang ayah. Dalam
Al Qur’an Allah banyak menurunkan ayat yang berisi bantahan tentang
keyakinan-keyakinan yang salah terhadap Isa seperti keyakinan bahwa dia adalah
anak Allah atau sebagai Tuhan. Diantaranya dalam surat Ali Imran Allah turunkan
sekitar 83 ayat yang berkaitan dengan Isa ibnu Maryam dan bantahan-bantahan
terhadap ahli kitab. Allah juga jelaskan secara lebih terperinci tentang
proses kelahiran Isa dalam surat Maryam (lihat ayat ke 16-37). Allah juga
kisahkan tentang pengikut-pengikutnya yang setia (hawariyun), kisah hidangan
makanan (QS. Al Ma’idah 112-115), dan Isa diangkat ke langit (QS. Ali Imran
54-55, Nisa’ 155-159).
Isa ibnu
Maryam adalah seorang hamba dan nabi, bukan tuhan sebagaimana dikatakan
orang-orang nashrani. Allah berfirman,
“Sesungguhnya telah kafirlah
orang-orang yang berkata: “Sesungguhnya Allah ialah Al Masih putera Maryam”,
padahal Al Masih (sendiri) berkata: “Hai Bani Israil, sembahlah Allah Tuhanku
dan Tuhanmu”. Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah,
maka pasti Allah mengharamkan kepadanya surga, dan tempatnya ialah neraka,
tidaklah ada bagi orang-orang zalim itu seorang penolongpun.” (QS. Al
Ma’idah: 72)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar